1.
Huraikan
kaedah pengajaran yang boleh digunakan bagi hasil pembelajaran aras satu, aras
dua dan aras tiga di dalam pengajaran dan pembelajaran Tilawah Al-
Qur’an.
1.0
Pendahuluan.
Terdapat
berbagai kaedah yang boleh digunakan oleh guru dalam pengajaran dan pembelajaran
Tilawah al-Quran. Kaedah-kaedah ini digunakan bertujuan memastikan pelajar dapat
menguasai kemahiran-kemahiran dalam Tilawah al-Quran iaitu membaca, menghafaz
dan memahami ayat-ayat al-Quran.. Bagi memastikan hasil pembelajaran mengikut
aras tercapai, guru perlu bijak dalam memilih kaedah yang sesuai dengan tahap
pelajar. Penggunaan kaedah yang pelbagai juga dapat menimbulkan minat pelajar
untuk membaca, menghafaz dan memahami al-Quran.
2.0 Talaqqi musyafahah.
Kaedah
mempelajari bacaan al-Quran yang tertua dan dipraktikkan oleh Jibril a.s kepada
Rasulullah SAW dikenali sebagai “Talaqqi Musyafahah”. Caranya Jibril membaca ayat suci al-Quran
kemudian Rasulullah SAW meniru bacaan tersebut dengan diperhatikan oleh
Jibril. Setelah itu Rasulullah SAW terus
menghafal ayat berkenaan. Seterusnya
Rasulullah SAW membacakan kepada para sahabat, para sahabat pula meniru bacaan
Rasulullah SAW kemudian diminta dituliskan, seterusnya tulisan itu dibacakan dan
dihafalkan.
2.1 Talaqqi.
Talaqqi pada
istilah ialah pertemuan antara guru dan pelajar secara bersemuka atau berhadapan. Semasa
menyampaikan pengajaran asuhan tilawah al-Quran bahagaian bacaan dan hafazan,
guru berhadapan dengan pelajar sama ada
seorang dengan seorang atau guru berhadapan dengan pelajar mengikut kumpulan atau secara
kelas.
Kaedah ini
amat berkesan kerana guru dapat mengesan pelajar yang mempunyai kebolehan yang tinggi
dalam bacaan atau hafazan juga dapat mengesan pelajar-pelajar yang lemah dan tidak dapat menguasai
bacaan al-Quran. Melalui kaedah talaqqi ini, guru dapat memperbaiki setiap
kesalahan yang dilakukan oleh pelajar seterusnya dapat membantu pelajar yang
tidak dapat menguasai bacaan al-Quran dengan mengadakan kelas
pemulihan.
2.2 Musyafahah.
Musyafahah
pada bahasa : gerakan bibir atau sebutan daripada mulut ke mulut yang diambil
dari pergerakan dua bibir.
Musyafahah
dari segi istilah bermakskud guru
menyebut huruf dan kalimah dalam ayat al-Quran dengan memberi penekanan kepada
gerakan bibir, pergerakan bibir guru yang diperhatikan oleh pelajar semasa
mengajar bacaan al Quran. Aktiviti ini bertujuan untuk menyebut dengan fasih dan
betul di hadapan pelajar supaya pelajar dapat mencontohi sebutan guru
berdasarkan pemerhatian mereka kepada gerak bibir guru. Guru boleh
mengulang-ulang sebutan kalimah atau ayat al-Quran dengan meminta pelajar
memerhatikan dengan guru membetulkan sebutan tersebut.
Pelajar
menerima pengajaran dengan mendengar sebutan guru dan melihat pergerakan bibir guru dan menyebutnya.
Kaedah ini bermaksud pelajar mendengar bacaan guru sambil memerhatikan
pergerakan bibir guru semasa menyebut kalimah atau ayat al Quran. Seterusnya,
pelajar membaca seperti guru membaca di samping guru membetulkan sebutan dan
bacaan pelajar
2.3 Cara melaksanakan kaedah talaqqi dan
musyafahah.
Kaedah
talaqqi dan musyafahah dilaksanakan dengan cara guru berhadapan dengan pelajar
atau bersemuka. Guru akan memperdengarkan bacaan ayat al Quran sebagai bacaan
contoh dan meminta pelajar mendengarnya
dan memerhati pergerakan bibir dengan teliti. Setelah bacaan itu diulang oleh
guru beberapa kali, guru meminta pelajar membacanya dan guru mendengar dengan
teliti dan membetulkan kesalahan bacaan pelajar sama ada dari segi makhraj dan
hukum tajwid. Kaedah ini berjalan berterusan sehingga tamat surah al Quran
mengikut rancangan mengajar guru pada hari itu.
Cara bersemuka sangat ditekankan
supaya murid tahu betul secara amali bagaimana pelaksanaan semua hukum-hukum
tajwid dalam bacaan yang meliputi makhraj-makhraj huruf, sifat-sifat huruf dan
lain-lain hukum tajwid.
2.4 Aplikasi Kaedah Talaqqi dan
Musyafahah.
Aplikasi
kaedah Talaqqi dan Musyafahah bagi hasil pembelajaran aras satu. (Ayat bacaan)
Hasil
pembelajaran aras satu disasarkan kepada semua pelajar yang terdapat dalam
kelas, merangkumi semua tahap pencapaian pelajar iaitu lemah, sederhana dan
pandai. Bagi mencapai hasil pembelajaran aras satu, menggunakan kaedah talaqqi
dan musyafahah, guru memulakan pengajaran dengan membaca ayat-ayat bacaan
al-Quran.
-
Guru memperdengarkan bacaan al-Quran dari bacaan guru sendiri supaya
pelajar dapat memerhatikan pergerakan bibir dan sebutan
guru.
-
Guru mempamerkan ayat-ayat dari surah yang diajar melalui LCD, kad carta
atau kad manila. Setelah mempamerkan ayat-ayat
tersebut, guru membaca ayat-ayat tersebut dan meminta pelajar mengikut bacaan guru.
-
Guru meminta pelajar membaca ayat secara kelas, kumpulan dan individu.
Semasa pelajar membaca ayat, guru perlu memerhati dan mendengar dengan teliti
sebutan pelajar untuk mengesan pelajar yang dapat membaca dan pelajar yang masih
belum boleh menguasai bacaan.
-
Guru mengumpulkan pelajar dalam kumpulan kecil bertujuan membimbing
mereka membaca dengan bacaan yang betul dari segi sebutan dan tajwid. Guru
membaca, pelajar diminta memerhati gerak bibir guru kemudian mengikut bacaan
guru. Guru membetulkan bacaan pelajar sekiranya terdapat kesalahan dalam sebutan
dan tajwid.
Melalui
kaedah ini, hasil pembelajaran aras satu dapat dicapai oleh guru dengan berkesan
kerana pelajar dapat membaca ayat al Quran dengan betul mengikut sebutan guru.
Guru juga dapat membetulkan sebutan dan bacaan pelajar semasa menyampaikan
pengajaran dan pembelajaran. Bagi mencapai hasil pembelajaran aras satu, guru
perlu memastikan semua pelajar dapat membaca ayat yang diajar oleh guru pada
hari tersebut.
Aplikasi kaedah talaqqi dan musyafahah bagi hasil pembelajaran aras dua.
(Ayat bacaan)
Bagi mencapai hasil pembelajaran
aras dua, (pelajar mampu menghafaz ayat dengan betul dan fasih) guru boleh
menggunakan kaedah talaqqi musyafahah ini dengan berpandukan kepada beberapa
langkah semasa menyampaikan pengajaran dan pembelajaran.
- Guru memaparkan ayat-ayat al
Quran di carta atau di LCD, kemudian guru membaca ayat tersebut. Guru meminta
pelajar memerhati gerak bibir guru di samping pelajar melihat ayat yang tertera
di LCD.
- Guru meminta pelajar membaca ayat di LCD sambil guru meneliti bacaan
pelajar dari segi sebutan atau makhraj
dan tajwid.
- Setelah guru berpuas hati dengan
mutu bacaan pelajar guru meminta pelajar
membaca ayat-ayat tersebut di hadapan kelas.
- Guru perlu memastikan pelajar
dapat membaca ayat dengan betul dan fasih.
- Guru boleh menguji pelajar
dengan meminta mereka membaca di hadapan kelas atau di hadapan
guru.
Aplikasi kaedah talaqqi dan musyafahah bagi hasil pembelajaran aras
tiga. (Ayat bacaan).
Aplikasi kaedah talaqqi dan
musyafahah bagi hasil pembelajaran aras tiga (pelajar mampu membaca ayat dengan
bertajwid), guru boleh menyampaikan pengajaran dan pembelajaran mengikut
langkah-langkah tertentu.
- Guru
memperdengarkan kepada pelajar ayat bacaan atau ayat hafazan melalui CD. Guru
meminta pelajar memerhati ayat tersebut di mushaf al Quran serta mengikut bacaan
secara perlahan.
- Guru
mengulang beberapa kali bacaan ayat tersebut sehingga pelajar dapat menguasai
ayat tersebut. Guru meminta pelajar membaca ayat tersebut secara kumpulan dan
individu.
- Guru
meminta pelajar yang telah betul bacaannya dari segi makhraj dan tajwid,
memperdengarkan bacaan di hadapan kelas.
3.0 Kaedah Latih Tubi
Kaedah latih tubi adalah satu aktiviti pengulangan fakta atau ayat atau
kecekapan yang dipelajari. Tujuan kaedah ini digunakan adalah supaya pelajar
mencapai taraf penguasaan bacaan dan hafazan di samping menjamin kekekalannya
dalam ingatan pelajar. Pelajar dapat menyebut
dengan fasih dan seterusnya dapat melancarkan bacaan mereka dalam al-Quran. Oleh
yang demikian kaedah latih tubi ini amat sesuai bagi mereka yang baru belajar
al-Quran, malah kaedah ini sememangnya telah diperaktikkan sejak zaman
Rasulullah s.a.w. Saidatina ’Aisyah telah meriwayatkan hadis yang bermaksud
:
Rasulullah s.a.w. suka
mengulang-ulang suatu perkara kepada para sahabat sehingga mereka mendapat
fahaman yang sebenar.
Melalui kaedah ini, pelajar dapat menguasai kemahiran bacaan dan
mengingat serta menghafaz ayat al Quran yang telah dipelajari. Pengajaran dan
pembelajaran guru akan lebih berkesan sekiranya kaedah ini dilakukan secara
berturutan dan berulang kali. Kesesuaian kaedah latih tubi ini dilaksanakan
dengan ulangan sebanyak tiga kali. Saidatina ’Aisyah r.a. meriwayatkan sebuah
hadis lagi yang bermaksud:
Rasulullah s.a.w mengucapkan tiga kali apabila bertutur dengan satu-satu
ayat dan kadangkala satu masalah diterangkan oleh Rasulullah s.a.w. diulang
sebanyak tiga kali agar para pendengar cukup jelas untuk
memahaminya.
Kaedah latih tubi sangat sesuai digunakan oleh guru kerana melalui
kaedah ini guru dapat mengenalpasti kemahiran yang dikuasai oleh setiap pelajar.
Kaedah ini juga sangat berkesan untuk pengajaran tilawah al Quran bahagian
hafazan dan boleh digunakan untuk aktiviti pemulihan bagi pelajar yang tidak
menguasai ayat bacaan dan hafazan. Kaedah latih tubi juga dapat membina
keyakinan pelajar untuk menguasai bacaan al-Quran dan menghafaz ayat-ayat yang
diajar guru.
3.1 Aplikasi Kaedah Latih Tubi
dalam pengajaran.
Aplikasi kaedah latih tubi bagi hasil pembelajaran aras satu. (Ayat
hafazan)
-
Guru menayangkan LCD yang mengandungi ayat-ayat al Quran yang akan
dipelajari. Guru membaca ayat tersebut tiga kali dan meminta pelajar mendengar
bacaan guru dengan teliti kemudian mengikut bacaan guru.
-
Guru meminta pelajar mengulangi
bacaan tiga kali secara kelas dan kumpulan. Untuk menarik minat pelajar, guru
memperdengarkan bacaan al Quran oleh qari yang terkenal dari cakera
padat.
-
Guru menggunakan pita rakaman untuk merakam bacaan pelajar kemudian guru
memperdengarkan bacaan tersebut kepada pelajar
-
Guru membetulkan kesalahan pelajar dan meminta mereka membaca secara
latih tubi hingga dapat menghafaz ayat dengan betul.
Aplikasi kaedah latih tubi bagi hasil pembelajaran aras dua. (Ayat
hafazan)
- Guru
meminta pelajar membaca ayat secara kelas dan kumpulan. Guru menyoal pelajar
tentang hukum tajwid yang terdapat dalam ayat yang dibaca melalui LCD. Guru
menerangkan hukum tajwid yang masih belum dipelajari kepada murid dan
menerangkan cara bacaan bagi hukum tersebut.
- Pelajar
membaca ayat mengikut guru dengan bacaan bertajwid yang betul. Pelajar diminta
membaca ayat tersebut secara latih tubi iaitu berulang-ulang sebanyak tiga
kali.
- Guru
meminta pelajar menghafaz ayat secara
individu. Guru perlu memastikan pelajar dapat menghafaz ayat dengan betul dan
bertajwid.
Aplikasi kaedah latih tubi bagi hasil pembelajaran aras tiga. (Ayat
hafazan)
- Guru
meminta pelajar membaca ayat yang dipaparkan di LCD, pelajar membaca secara
kumpulan mengikut tahap pelajar.
- Pelajar
dalam kumpulan berlatih tubi menghafaz ayat secara berpasangan
berperingkat-peringkat bermula dengan satu ayat, sehingga dapat menghafaz dengan
betul dan fasih.
- Guru
meminta pelajar dari kumpulan pandai membaca ayat dengan bertajwid dan meminta
pelajar menyebut nama hukum tajwid yang terdapat dalam ayat yang
dibaca.
- Guru
meminta pelajar menghafaz ayat seorang demi seorang membaca di hadapan guru.
Guru perlu memastikan pelajar menghafaz ayat dengan makhraj yang betul dan
bertajwid.
4.0 Kaedah Tasmik
Tasmik
adalah perkataan yang diambil dari bahasa Arab yang bermaksud mendengar. Kaedah
ini digunakan guru dalam pengajaran Tilawah al Quran melalui aktiviti guru
mendengar bacaan pelajar. Kaedah tasmik melibatkan guru dengan pelajar di dalam
kelas semasa pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Kaedah ini digunakan untuk
menguji tahap pencapaian pelajar dalam penguasaan bacaan dan hafazan al Quran.
Cara
pelaksanaan kaedah tasmik, ialah pelajar diminta membaca ayat yang ditentukan
oleh guru dengan suara yang kuat (jahar), di hadapan guru. Guru mendengar bacaan
atau hafazan pelajar dengan teliti supaya dapat mengesan kesilapan yang
dilakukan oleh pelajar dalam bacaannya. Jika terdapat kesalahan, guru akan
memperbetulkan kesalahan murid. Untuk
menentukan pelajar menguasai tajwid, guru boleh menyoal pelajar tentang hukum
bacaan atau hukum tajwid dan maksud tanda-tanda bacaan dalam ayat yang
dibaca.
4.1 Pelaksanaan kaedah
Tasmik.
-
Guru mendengar dan meneliti bacaan pelajar.
Kedudukan
guru adalah berhampiran dengan pelajar dengan keadaan berhadapan atau bersemuka
supaya guru dapat melihat cara pelajar menyebut kalimah atau
ayat.
- Pelajar dikehendaki membaca atau menghafaz
dengan suara yang nyaring supaya guru dapat mendengar dengan jelas sebutan dan
bacaan pelajar.
- Pelajar membaca secara kumpulan kecil atau
individu.
4.2 Kelebihan kaedah
tasmik.
- Guru dapat mengesan kelemahan bacaan pelajar
dalam waktu yang cepat.
- Guru dapat memperbetulkan bacaan pelajar dengan
tepat.
- Guru dapat mengesan dan mengenalpasti tahap
kebolehan sebenar pelajar
- Guru dapat memastikan pelajar tidak melakukan
kesilapan.
- Guru dapat mendisiplinkan pelajar dengan cara
yang berkesan.
Kaedah tasmik sangat sesuai diaplikasikan dalam
bidang Asuhan Tilawah al-Quran bahagian ayat bacaan. Melalui kaedah ini guru
dapat mengesan dengan cepat penguasaan pelajar terhadap ayat bacaan yang diajar.
Bagi mencapai hasil pembelajaran seperti yang dirancang, guru perlu melaksanakan
langkah-langkah yang sesuai mengikut aras pembelajaran.
4.3 Aplikasi kaedah Tasmik dalam
pengajaran.
Aplikasi kaedah
tasmik bagi hasil pembelajaran aras satu.(Ayat bacaan)
- Guru
meminta pelajar membaca ayat yang telah dipelajari secara kelas dan kumpulan
secara kuat dan nyaring.
- Guru mendengar bacaan pelajar dengan teliti
supaya dapat mengesan kesalahan dalam bacaan pelajar.
- Guru meminta pelajar membaca ayat secara
individu. Pelajar membaca bergilir-gilir secara individu.
- Guru meneliti bacaan pelajar dan memperbetulkan
kesalahan pelajar.
- Guru perlu memastikan semua pelajar dapat
membaca ayat dengan betul.
Aplikasi kaedah
tasmik bagi hasil pembelajaran aras dua (Ayat bacaan)
- Guru meminta pelajar membaca ayat secara
kumpulan. Guru mendengar bacaan pelajar dengan teliti dan memperbetulkan bacaan
murid.
- Pelajar diminta membaca ayat secara individu
dengan suara kuat di hadapan guru.
- Guru
meneliti bacaan pelajar dan membuat pembetulan serta merta kesalahan
pelajar.
- Guru
menyoal pelajar tentang kalimah dan ayat yang mengandungi bacaan panjang dan pendek.
- Pelajar
menjawab soalan guru secara lisan. Guru memberi bimbingan kepada pelajar
sekiranya murid tidak menjawab soalan guru dengan tepat.
- Guru
perlu memastikan pelajar dapat menguasai bacaan dengan betul mengikut hukum
tajwid.
Aplikasi kaedah
tasmik bagi hasil pembelajaran aras tiga.(Ayat bacaan)
- Guru
meminta pelajar membaca ayat secara kumpulan. Pelajar dikumpulkan mengikut tahap
pencapaian. Guru mendengar bacaan pelajar dengan teliti.
- Pelajar
diminta membaca ayat secara individu dengan suara kuat di hadapan
guru.
- Guru
meneliti bacaan pelajar dan membuat pembetulan serta merta kesalahan
pelajar.
- Guru
menyoal pelajar tentang hukum tajwid yang terdapat dalam ayat yang
dibaca.
-
Pelajar menjawab soalan guru secara lisan. Guru memberi bimbingan kepada
murid sekiranya murid tidak menjawab soalan guru dengan
tepat.
-
Pada aras ini, guru perlu memastikan pelajar telah dapat menguasai
bacaan dengan betul, fasih dan
bertajwid
5.0 Kaedah Soal jawab.
Kaedah soal
jawab adalah kaedah yang paling kerap digunakan oleh guru dalam proses
pengajaran dan pembelajaran. Kaedah ini merupakan interaksi dua hala yang
melibatkan pelajar danguru yang memberi kesan positif terhadap kefahaman pelajar
terhadap topik atau pelajaran yang dipelajari kerana mereka berpeluang menyoal
guru untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai tajuk pelajaran. Kaedah ini
telah lama diaplikasikan dalam Pendidikan Islam. Kaedah ini meransang pemikiran
pelajar melalui soalan-soalan yang diutarakan oleh guru. Soalan-soalan yang
diberikan oleh guru ialah sebahagian daripada interaksi pengajaran dan
pembelajaran.
Kaedah ini
menggalakkan pelajar menggunakan kemahiran berfikir serta memberi tumpuan
terhadap pelajaran dan secara tidak langsung dapat mengelakkan pelajar berfikir
tentang perkara-perkara di luar pembelajaran. Dalam pengajaran tilawah al Quran,
guru boleh menggunakan kaedah ini dalam bahagian hafazan surah. Guru boleh
menyoal pelajar tentang cara bacaan dan hukum tajwid yang terdapat dalam ayat
yang dipelajari. Sebelum menyoal pelajar, guru perlu memberikan masa kepada
pelajar untuk membaca dan menghafaz ayat dengan betul. Bagi pelajar yang lemah,
guru boleh memberi penerangan tentang hukum tajwid dan cara bacaan terlebih
dahulu.
5.1 Aplikasi kaedah soal jawab dalam
pengajaran.
Aplikasi
kaedah soal jawab bagi hasil pembelajaran aras satu. (Ayat
hafazan)
-
Guru mempamerkan carta mengandungi ayat dan meminta pelajar membaca
secara senyap
- Guru membaca ayat dengan kuat dan meminta semua
pelajar mengikut bacaan guru.
- Guru mengulang beberapa kali ayat tersebut dan
meminta pelajar mengikut bacaan guru secara kumpulan.
-
Guru meminta pelajar mengecam kalimah dan potongan ayat supaya mudah
mengingat untuk aktiviti menghafaz ayat.
- Bersoal jawab tentang hafazan surah dari segi
menyambung ayat yang dibaca.
- Guru membaca permulaan ayat dan meminta pelajar
menyambung ayat tersebut. Untuk menarik minat pelajar, guru menyoal pelajar yang
paling cepat menghafaz ayat.
-
Guru perlu memastikan semua pelajar dapat menghafaz ayat yang dipelajari
dengan betul.
Aplikasi
kaedah soal jawab bagi hasil pembelajaran aras dua. (Ayat
hafazan)
-
Guru memaparkan ayat hafazan di LCD dan memperdengarkan bacaan dari qari
terkenal. Guru mengulang beberapa kali bacaan tersebut.
-
Guru meminta pelajar mengikut bacaan dan seterusnya menghafaz ayat
tersebut.
-
Guru membahagikan pelajar kepada kumpulan kecil berpasangan untuk tujuan
menghafaz ayat. Guru meminta pelajar menghafaz berpasangan, pasangan pelajar
diminta meneliti bacaan pasangan masing-masing untuk dan membetulkan jika
terdapat kesalahan bacaan rakan mereka.
-
Pelajar diminta memerhati tanda bacaan dan hukum tajwid yang terdapat
dalam ayat.
-
Guru memulakan sesi soal jawab tentang tanda bacaan dan hukum tajwid.
Pelajar menyebut hukum tajwid dan membaca kalimah yang mengandungi hukum tajwid
tersebut. Guru memperbetulkan sebutan atau bacaan pelajar.
-
Pada aras ini, pelajar perlu menguasai bacaan di samping mengenal hukum
tajwid yang terdapat dalam ayat.
Aplikasi
kaedah soal jawab bagi hasil pembelajaran aras tiga. (Ayat
hafazan)
-
Guru meminta pelajar menghafaz ayat secara kumpulan dan individu dengan
suara yang nyaring. Guru membetulkan kesalahan yang dilakukan oleh
pelajar.
-
Pelajar menghafaz ayat secara berulang-ulang sehingga dapat menghafaz
dengan fasih.
-
Guru menggunakan kaedah soal jawab untuk memastikan pelajar mengetahui
hukum tajwid yang terdapat dalam ayat, serta menguasai hafazan dengan cara
bertajwid.
-
Pada aras tiga, guru perlu memastikan pelajar dapat menghafaz ayat
dengan betul dan fasih serta bertajwid.
6.0 Kaedah Penerangan.
Kaedah
penerangan merupakan kaedah pengajaran yang lebih berpusatkan kepada guru.
Maksud kaedah ini ialah, guru memberi penerangan tentang sesuatu tajuk pelajaran
atau isi pengajaran secara lisan. Bagi
menghasilkan pengajaran yang lebih berkesan serta memberi kefahaman kepada
pelajar, guru perlu menggunakan alat bantuan mengajar seperti gambar, carta atau
LCD di samping dapat menarik minat pelajar dalam pelajaran tersebut. Melalui
kaedah penerangan, guru perlu memastikan pelajar dapat memahami penerangan yang
disampaikan oleh guru dalam sesuatu tajuk.
Melaksanakan
kaedah ini, guru perlu memberi perhatian terhadap kedudukan pelajar di dalam
kelas supaya setiap individu dapat melihat guru dan mendengar percakapan guru
dengan jelas. Semasa memberi penerangan, guru perlu bertutur dengan jelas dan
terang serta menggunakan bahasa yang mudah difahami pelajar.
6.1 Pelaksanaan kaedah penerangan.
- Penerangan hendaklah diberikan pada masa yang
sesuai seperti ketika menyampaikan pengajaran baru.
- Guru hendaklah menyampaikan penerangan dengan
ringkas dan bernas.
- Setiap penerangan guru perlu diikuti dengan
soal jawab secara lisan atau bertulis untuk menguji kefahaman pelajar terhadap
isi pelajaran yang telah disampaikan guru.
- Penerangan boleh digabungjalinkan dengan
teknik-teknik lain seperti soal jawab, perbincangan supaya pengajaran dan
pembelajaran lebih menarik.
- Kaedah ini sesuai digunakan untuk pengajaran
tilawah al Quran bahagian kefahaman.
Kaedah penerangan sesuai diaplikasikan dalam
semua tajuk pelajaran pendidikan Islam. Guru boleh melaksanakan kaedah ini dalam
pengajaran dan pembelajaran tilawah al-Quran bahagian kefahaman
ayat.
6.2 Aplikasi kaedah penerangan dalam
pengajaran.
Aplikasi
kaedah penerangan bagi hasil pembelajaran aras satu.
(Ayat
kefahaman)
-
Guru memperdengarkan bacaan contoh melalui pita
rakaman
- Pelajar diminta membaca ayat kefahaman yang
akan dipelajari. Guru meminta semua pelajar meneliti kalimah dan ayat yang
dibaca.
- Guru menerangkan maksud ayat dengan menerangkan
pengertian kalimah.
- Guru bersoal jawab dengan pelajar mengenai
erti ayat dan maksud keseluruhan ayat (
pengertian hidayah dan rahmat Allah).
- Murid menyenaraikan isi penting maksud
ayat.
Aplikasi
kaedah penerangan bagi hasil pembelajaran aras dua.
(Ayat
kefahaman)
- Guru meminta pelajar menyebut erti
ayat.
- Guru menerangkan tentang isi-isi penting dalam
ayat kefahaman ( cara mendapat hidayah Allah )
- Guru meminta pelajar berbincang dalam kumpulan
(ciri-ciri orang yang mendapat hidayah
Allah).
- Pelajar membentangkan hasil perbincangan
mengikut kumpulan.
- Guru mengulas dan memberi penerangan tentang
hasil perbincangan pelajar.
Aplikasi
kaedah penerangan bagi hasil pembelajaran aras tiga.
(Ayat
kefahaman)
- Guru memberi penerangan tentang isi pelajaran
maksud ayat ( akibat orang yang tidak mendapat hidayah)
- Guru meminta pelajar menyebut semula isi
pelajaran yang telah disampaikan oleh guru.
- Guru
meminta pelajar membuat perbincangan dalam kumpulan tentang isi pelajaran (
maksud ayat )
- Murid menyenaraikan isi perbincangan (
ciri-ciri orang yang tidak mendapat hidayah Allah)
- Guru mengulas pembentangan pelajar dan memberi
penerangan tentang isi pelajaran seterusnya (perkara yang perlu dilakukan untuk
memperoleh hidayah Allah)
7.0 Penutup.
Kaedah-kaedah yang diperkenalkan dalam strategi pengajaran dan
pembelajaran, keseluruhannya adalah baik dan berkesan bagi setiap guru dalam
menyampaikan pengajaran. Keberkesanan kaedah ini adalah bergantung kepada
kebijaksanaan guru menyesuaikannya dengan tahap pencapaian pelajar serta suasana
persekitaran dan hasil pembelajaran yang hendak dicapai.
Rujukan
Bahagian Kurikulum
Pendidikan Islam dan Moral (2007), Buku
Panduan Pelaksanaan Model-Model Pengajaran dan Pembelajaran dan Kokurikulum,
Kuala Lumpur: Kementerian Pelajaran
Malaysia.
Ismail Abas et.al.
(2007), Pengenalan Pendidikan Islam, Seri
Kembangan: UNITEM
Sdn.Bhd.
Habibah@Artini
Ramlie dan Rahimi Md Saad (2008), Pendidikan Islam Tingkatan 3, Seri
Kembangan : Open University Malaysia.
Kamarudin Hj Husin
(1994) KBSM dan Strategi Pengajaran Pahasa , Subang Jaya, Kumpulan
Budiman.
Bahagian Kurikulum
Pendidikan Islam dan Moral (2006), Buku
Panduan j-QAF Model Pengajaran dan Pembelajaran Islam , Kuala Lumpur:
Kementerian Pelajaran Malaysia.
No comments:
Post a Comment